sebuah tulisan
October 23rd, 2007entah ini tulisan siapa aku lupa,tapi yang jelas bagus
KECEWA : BUKANKAH ALLAH ITU MAHA MENGETAHUI
Tangan saya memegang erat kertas hitam putih tersebut. Perasaan yang sebelumnya ceria terus bertukar duka. Pagi yang sememangnya cerah disinari pancaran sang suria terus bertukar suram dan kelam. Entah tidak tahu begaimana seorang hamba yang hatinya keras seperti batu, akhirnya telah menitiskan curahan-curahan permata yang berkilauaun setitis demi setitis. Sesungguhnya emosi ketika itu sangat tidak mampu untuk dikawal. Di hadapan rakan-rakan seperjuangan yang sedang riang bersorakan, ceria kegembiraan serta ketawa kepuasan, saya seolah-olah telah menjadi bahan tontonan percuma kepada mereka. Ah, biarlah mereka melihat, biarlah mereka mengerti, betapa hancurnya hati seorang yang sering mendambakan segala-galanya dimiliki.
Sudah lebih dua minggu berlalu, hati serta jasad ini yang asalnya sangat bertenaga masih lemah tidak bermaya, masih terkulai merana. Terharu apabila menerima panggilan daripada sahabat yang sangat sayangi, yang telah menjadi sahabat sejak mula menjejaki alam sekolah menengah, “Marwan, semalam Syawal pesan kat aku supaya pujuk kau , janganlah bersedih lagi.” Kadang-kadang saya ketawa bersendirian, entah kenapalah saya boleh berperangai sepelik begini. Saya sangat bersyukur kerana sahabat-sahabat saya amat memahami perasaan ini. Terus menerus saya menerima panggilan daripada mereka, “Marwan, kau ok x ini?”, “Akhi, enta macam mana sekarang?”, “Ala, Marwan rilekler, kau dah lupa ke konsep redha dan tawakkal yang pernah kita pelajari dahulu?.”. Pada telefon bimbit saya pula tidak putus-putus kata-kata semangat dihantar. Sering kalau ada masa terluang, saya membaca mesej tersebut semula, sambil tersenyum sekurang-kurangnya dapat mennyembuh sikit sebahagian luka jikalau tidak mampu sekalipun untuk menyembuhkan kesemuanya.
Sahabat-sahabat daripada luar pula tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada saya. Saya hanya tersenyum, cuba menghadamnya dengan ikhlas, walaupun saya tahu senyuman itu tidaklah seikhlas mana. Malahan, hati berasa sangat panas bergelora. Rasa hendak sahaja saya terkam apa-apa sahaja yang berada di hadapan mata. Namun berfikir, apakah gunanya jika perlakuan tersebut ditunaikan?
Daripada satu sudut, diri ini berasa sangat malu kepada Allah, sahabat-sahabat dan guru-guru. Dahulu, diri inilah yang lantang memberi tazkirah di kelas semata-mata ingin memulihkan semangat sahabat-sahabat yang hampir terkubur akibat keputusan-keputusan mereka yang tidak memberansangkan. Dahulu, lidah inlah yang sering mengatakan, “Peperiksaan ini bukan penentu kita ke syurga ke neraka, ini bukan tujuan kita, ada ke Allah mengatakan sesiapa yang gagal dalam peperiksaan tidak dapat merasai nikmat Allah di syurga? Tidak, walau apapun yang berlaku, matlamat kita hanya satu iaitu semata-mata kerana Allah.”
Namun, akhirnya saya sendiri yang termakan dengan apa yang telah saya lantang perjuangkan dahulu. Saya sendiri yang mudah kecewa akibat perkara yang tidak menjanjikan pulangan apa-apa. Seolah-olah saya telah melupakan firman Allah ayat 216 yang dinukilkan dalam surah Al-Baqarah iaitu
“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Dalam kesedihan itu, saya cuba membelek-belek sebuah kitab berwarna kuning terjemahan dalam bahasa Indonesia yang bertajuk La Tahzan karangan Dr ‘Aidh Al Qarni. Sebaris demi sebaris, sehelai demi sehelai saya mengamatinya. Semata-mata ingin mencari sesuatu yang dapat mengubati jiwa ini. Saya tidak mahu terus begini. Ini bukan diri saya dan saya tidak mahu diri saya terus dilemahkan oleh bisikan syaitan dan mainan hawa nafsu. Saya tahu, pelbagai lagi yang terdapat dalam diri saya yang perlu dimanfaatkan oleh seluruh ummah. Tenaga muda saya amat diperlukan dalam bersama-sama mengembalikan kekuatan Ummah. Adakah wajar seorang Mukmin yang mengakui Allah sebagai Tuhannya duduk menangis keseorangan sedangkan keadaan sangat mendesak memerlukannya? Adakah ini yang diajarkan oleh Rasulullah dalam menghadapi setiap dugaan sedangkan ujian itu sememangnya sudah dijanjikan Allah untuk menguji tahap keimanan hamba-Nya?
Namun, semangat itu adalah suatu yang abstrak. Sesuatu yang tidak dapat diberi dalam bentuk fizikal atau material. Hilangnya semangat seseorang maka hilanglah kerasionalan pemikirannya. Apa yang saya perlukan kini, saya berharap sangat agar semangat ini akan kembali menggagahi diri ini semula. Agar diri ini faham bahawa semua ini adalah kehendak Allah dan tanggung jawab kita hanyalah berusaha. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang saya tidak ketahui, dan sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya. Semoga yang terbaik itu akan saya kecapi dan menjadi realiti. Saya amat memerlukan sokongan daripada sahabat-sahabat sekalian. Semoga iman yang menjadi permata yang sangat berharga dalam diri ini tidak akan mudah retak atau dicuri oleh mereka yang lebih tahu untuk menghargainya.
Wallahu a’lam